Monday 10 December 2012

Krisis peningkatan harga minyak global



Dunia kini sedang mengalami krisis kenaikan minyak yang begitu kronik. Kenaikan ini telah menyebabkan banyak negara mengalami masalah hutang yang begitu teruk sehingga mampu memusnahkan ekonomi yang sudah dipupuk sekian lama itu. Rakyat juga mula menerima tempias krisis ini yang menyaksikan banyak syarikat mula membuang pekerja mereka kerana ekonomi dunia mengalami kegawatan yang ketara. Harga minyak global melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah pada Julai 2008 iaitu US$147 setong.
Kemelut harga minyak ini banyak dipengaruhi oleh permintaan minyak yang begitu tinggi dari negara China dan India. Kedua-dua negara ini sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang rancak lalu memerlukan jumlah minyak yang banyak untuk memenuhi keperluan industri mereka yang sedang berkembang pesat itu. Permintaan yang terlalu banyak ini telah menyebabkan harga minyak melambung kerana situasi ini mewujudkan tekanan terhadap keperluan minyak begitu jelas. Pada masa yang sama, keperluan permintaan minyak dunia begitu tinggi berbanding dengan tahap pengeluaran minyak yang sedia ada lalu menyebabkan harga melambung tinggi. Ringkasnya, harga minyak meningkat kerana China dan India telah mewujudkan satu pasaran baru buat pengusaha minyak dunia berikutan permintaan yang amat tinggi bagi kedua-kedua negara tersebut.
Selain itu, keadaan politik yang tidak stabil di rantau Asia Barat telah menjadikan harga minyak melambung tinggi. Peperangan bersama-sama tunjuk perasaan, rampasan kuasa dan ketidakstabilan politik di Iraq, Iran, Syria, Kuwait dan sebagainya menyebabkan banyak negara pembeli minyak berasa risau lalu membuat pembelian awal yang lebih banyak daripada pembelian biasa. Keadaan yang tidak stabil ini menyebabkan negara-negara pengeluar minyak yang lain mengambil kesempatan untuk meninggikan harga minyak untuk mengaut keuntungan segera daripada ketidakstabilan politik yang melanda rantau itu. Maka, keadaan politik yang tidak stabil di Asia Barat telah menyebabkan harga minyak melambung tinggi.
       Penurunan kadar nilai mata wang Amerika Syarikat juga dikaitkan dengan peningkatan harga minyak ini. Sudah menjadi kebiasaan pembelian minyak dikaitkan dengan penggunaan mata wang Amerika Syarikat lalu sebarang penurunan mata wang negara ini pasti akan menjejaskan nisbah keuntungan yang bakal diterima oleh negara pengeluar minyak itu. Situasi ini membawa kepada negara pengeluar minyak tidak berminat untuk mengeluarkan minyak lebih banyak kerana pembelian minyak menggunakan mata wang Amerika Syarikat ketika ini tidak membawa kadar keuntungan yang banyak kepada mereka.
Tambahan pula, keperluan minyak negara-negara yang mengeluarkan minyak itu sendiri begitu tinggi. Situasi ini menyebabkan jumlah minyak yang dikeluarkan oleh mereka itu tidak banyak yang boleh dieksport untuk keperluan negara lain kerana sudah pasti mereka akan cuba memenuhi keperluan minyak negara mereka terlebih dahulu. Kekurangan jumlah penawaran minyak di pasaran antarabangsa menyebabkan harga minyak melambung kerana negara-negara lain turut memerlukan minyak dalam kuantiti yang banyak.
Keadaan ini telah mengakibatkan krisis kenaikan harga minyak berlaku dan memberi kesan negatif terhadap seluruh negara didunia.Malaysia terpaksa menaikkan harga minyak sebanyak RM0.70 atau 41peratus bagi mengurangkan subsidi bahan api yang ditanggung oleh pihak kerajaan bagi memastikan belanjawan negara tidak mengalami defisit yang lebih tinggi.

Kesan positif globalisasi



Negara-negara Asia Pasifik yang tergolong dalam kelompok negara sedang membangun dan negara mundur tidak mempunyai modal yang cukup untuk menggerakkan sektor ekonomi moden khususnya sektor  industri perkhidmatan dan industri. Industri berteknologi tinggi (HITEC) misalnya amat memerlukan modal yang banyak.Arus globalisasi akan membawa banyak modal luar yang sudah tentu mampu menggerakkan pertumbuhan  ekonomi negara yang menerima kemasukan pelabur.

Suntikan modal asing membolehkan industri di negara membangun berkembang pesat, mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat, masalah pengangguran dikurangkan, meningkatkan taraf hidup dan memutuskan lingkaran kemiskinan yang selama ini menghimpit negara-negara sedang membangun.Negara sedang membangun terpaksa bergantung kepada pelaburan swasta dari negara kapitalisme baru.Misalnya pada tahun 1996, aliran modal masuk dari Amerika Syarikat dan Eropah ke negara-negara sedang membangun adalah berjumlah US$ 1.2 Trilion dan membentuk hampir 60% daripada jumlah modal yang terkumpul di negara-negara sedang membangun.

Seterusnya, menggalakkan pemindahan teknologi, kepakaran, dan R&D (Penyelidikan Dan Pembangunan). Selain modal, tahap teknologi yang mundur dan kekurangan tenaga pakar juga menjadi penghalang utama sebahagian besar negara-negara sedang membangun untuk maju dalam sektor ekonomi moden.Melalui globalisasi,kemasukan teknologi moden dan pemindahan kepakaran dari negara-negara yang lebih maju seperti Jepun, Amerika Syarikat, Jerman, dan lain-lain dapat dilaksanakan. Rakyat tempatan dikehendaki mempelajari kaedah pengendalian teknologi melalui latihan lanjutan dan usahasama dalam konteks R&D tenaga manusia. Lama-kelamaan kepakaran akan mampu dimiliki oleh rakyat tempatan yang kelak boleh digunakan untuk membangunkan  negara. Contoh teknologi HITEC, teknologi reka bentuk, kawalan mutu, teknologi komunikasi, kepakaran pengurusan dan lain-lain yang berkaitan.

Kemudian, globalisasi juga meluaskan psaran. Penghapusan  Dasar Perlindungan dan Sekatan Tarif (GATT), penghapusan stok penimbal, serta provokasi pasaran akan memberi peluang kepada produk negara sedang membangun menembusi pasaran negara maju dengan hak yang sama rata. Hal ini kerana globalisasi menuntut mekanisme pasaran yang terbuka, adil, dan telus. Justeru, negara sedang membangun di Asia Pasifik yang telah menghasilkan produk industri seperti Malaysia, Thailand, China dan Singapura memperoleh keuntungan melalui pengukuhan rangkaian pasaran, persaingan yang sihat, harga pasaran yang lebih stabil dan sebagainya. Di Asia Tenggara, pengenalan AFTA merupakan satu realisasi daripada arus globalisasi. Kesan-kesan positif daripada perluasan tersebut dapat dinikmati secara bersama.

Selain itu, dengan globalisasi juga perkongsian sumber-sumber alam khususnya sumber bahan mentah dan sumber tenaga dapat dijalankan. Sesetengah negara atau kawasan tidak mempunyai bekalan tenaga yang cukup bagi menggerakkan sektor industri dalam negara. Oleh sebab itu, negara terpaksa bergantung kepada negara luar bagi memperoleh sumber kuasa tersebut.Misalnya, negara Jepun terpaksa kepada negara-negara Teluk dan negara-negara Asia yang lain untuk mendapatkan bekalan petroleum dalam negara tersebut. Begitu juga dengan Singapura yang bergantung kepada Malaysia untuk mendapatkan bekalan sumber air. Pendek kata dalam sistem ekonomi terbuka, keadaan saling bergantung sudah menjadi satu kemestian bagi setiap negara.

Melalui globalisasi juga, penubuhan-penubuhan negara-negara anggota seperti ASEAN, APEC dan lain-lain telah mewujudkan penjagaan alam sekitar secara bersama khususnya dalam menangani permasalahan alam sekitar. Negara-negara tersebut akan menjalankan usahasama dalam membuat pengesanan, rondaan, kawal selia, pengawasan, dan pemuliharaan jika berlaku kes-kes pembuangan enap cemar oleh kapal yang melalui kawasan Selat Melaka. Pengurusan dan penjagaan alam sekitar di negara-negara masing-masing akan menjadi lebih mapan menerusi pertukaran maklumat dan teknologi terkini. Isu-isu alam sekitar serantau seperti pencemaran laut, jerebu, dan isu kepupusan sumber marin ditangani secara bersama.

Seterusnya,  meningkatkan daya saing negara dan peningkatan kualiti barangan. Melalui globalisasi, pembukaan kawasan pasaran dan perdagangan yang seluas-luasnya menyebabkan produk-produk negara seperti perindustrian dapat dipasarkan dengan meluas. Dengan hak yang sama, mekanisme pasaran yang terbuka, adil dan telus harga produk akan akan menjadi lebih stabil. Keadaan ini kerana globalisasi memberikan kuasa mutlak kepada kuasa-kuasa pasaran iaitu permintaan dan cita rasa pengguna dalam urus niaga barangan dan perkhidmatan. Pilihan sesuatu barangan terletak di tangan pengguna tanpa melibatkan tekanan dan kongkongan dari mana-mana pihak.

Kesan negatif terhadap ekonomi global termasuk Malaysia



Krisis yang terjadi di AS  memberi kesan yang secara terus kepada Malaysia. Hanya sesetengah bank yang mempunyai bon dan sekuriti, di sana akan mengalami sedikit gangguan. Kesan secara langsung kepada negara adalah sangat minimum. Tetapi, hal ini memberi kesan secara tidak langsung. Eropah dan Amerika Syarikat merupakan negara yang mempunyai kuasa beli yang tinggi. Apabila berlakunya krisis kewangan di AS, kuasa beli pengguna akan menurun dan kerana pengguna tidak keluar berbelanja kerana ketiadaan kecairan wang dalam ekonomi.

        Pada situasi begini para pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat, mereka  memerhati perkembangan ekonomi yang terjadii Mereka tidak mahu melabur kerana keadaan pasaran global yang tidak menentu. Pelabur sudah semestinya tidak mahu mengambil risiko yang besar ini. mereka hanya memikirkan pulangan yang berganda sahaja. Hal ini telah mengakibatkan jumlah FDI yang diterima Malaysia adalah sedikit.Pelaburan asing menjunam sebanyak 50 peratus.Malaysia hanya mampu menarik RM26 bilion FDI pada 2009 berbanding RM51bilion pada 2008.

Kesan yang paling ketara boleh dilihat dengan jelas dalam sektor pelancongan. Apabila sektor pelancongan terjejas, sudah tentu industri yang berkaitan turut merasainya, seperti perhotelan dan industri kecil dan sederhana, kerana ia sangat berkait rapat. Sektor hartanah juga turut merudum dan perkara ini sangat menakutkan pengusaha dan pemaju dan juga para pelabur itu sendiri. Kerana kesannya sangat besar dan risiko yang harus diharungi adalah sangat tinggi.

Bursa saham Malaysia juga mengalami kejatuhan yang amat ketara ke paras 800 mata akibat kesan krisis kewangan global.Pertumbuhan ekonomi global dan perdagangan antarabangsa juga menerima kesannya.Kebanyakan ekonomi dunia menjunam ke tahap yang membimbabangkan.Pertumbuhan ekonomi negatif di catatkan untuk kebanyakan Negara didunia termasuk Negara-negara maju.Perdagangan antarabangsa turut merosot sekali ganda.Jumlah eksport juga jatuh .Situasi ini menyebabkan kebanyakan akaun imbangan pembayaran negar di dunia mencatatkan angka deficit.Malaysia tidak terkecuali menerima kesannya.Kekurangan pesanan daripada luar mengakibatkan industry perkilangan dan terutamanya tekstil dan elektronik terjejas teruk.


Istilah dalam globalisasi ekonomi


Liberalisasi ekonomi

Dasar pasaran bebas yang memberikan peluang kepada sesiapa sahaja termasuk pemodal-pemodal asing yang memasuki dan menguasai pasaran dan ekonomi sesebuah negara tanpa batas.


Deregulasi ekonomi 

Dasar penghapusan segala peraturan dan sekatan ekonomi yang diamalkan oleh sesebuah negara yang selama ini menghalang ekonomi perdagangan, pengaliran, dan pemilikan modal, teknologi, perniagaan, pasaran barangan, perkhidmatan dan lain-lain.