Monday 10 December 2012

Kesan positif globalisasi



Negara-negara Asia Pasifik yang tergolong dalam kelompok negara sedang membangun dan negara mundur tidak mempunyai modal yang cukup untuk menggerakkan sektor ekonomi moden khususnya sektor  industri perkhidmatan dan industri. Industri berteknologi tinggi (HITEC) misalnya amat memerlukan modal yang banyak.Arus globalisasi akan membawa banyak modal luar yang sudah tentu mampu menggerakkan pertumbuhan  ekonomi negara yang menerima kemasukan pelabur.

Suntikan modal asing membolehkan industri di negara membangun berkembang pesat, mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat, masalah pengangguran dikurangkan, meningkatkan taraf hidup dan memutuskan lingkaran kemiskinan yang selama ini menghimpit negara-negara sedang membangun.Negara sedang membangun terpaksa bergantung kepada pelaburan swasta dari negara kapitalisme baru.Misalnya pada tahun 1996, aliran modal masuk dari Amerika Syarikat dan Eropah ke negara-negara sedang membangun adalah berjumlah US$ 1.2 Trilion dan membentuk hampir 60% daripada jumlah modal yang terkumpul di negara-negara sedang membangun.

Seterusnya, menggalakkan pemindahan teknologi, kepakaran, dan R&D (Penyelidikan Dan Pembangunan). Selain modal, tahap teknologi yang mundur dan kekurangan tenaga pakar juga menjadi penghalang utama sebahagian besar negara-negara sedang membangun untuk maju dalam sektor ekonomi moden.Melalui globalisasi,kemasukan teknologi moden dan pemindahan kepakaran dari negara-negara yang lebih maju seperti Jepun, Amerika Syarikat, Jerman, dan lain-lain dapat dilaksanakan. Rakyat tempatan dikehendaki mempelajari kaedah pengendalian teknologi melalui latihan lanjutan dan usahasama dalam konteks R&D tenaga manusia. Lama-kelamaan kepakaran akan mampu dimiliki oleh rakyat tempatan yang kelak boleh digunakan untuk membangunkan  negara. Contoh teknologi HITEC, teknologi reka bentuk, kawalan mutu, teknologi komunikasi, kepakaran pengurusan dan lain-lain yang berkaitan.

Kemudian, globalisasi juga meluaskan psaran. Penghapusan  Dasar Perlindungan dan Sekatan Tarif (GATT), penghapusan stok penimbal, serta provokasi pasaran akan memberi peluang kepada produk negara sedang membangun menembusi pasaran negara maju dengan hak yang sama rata. Hal ini kerana globalisasi menuntut mekanisme pasaran yang terbuka, adil, dan telus. Justeru, negara sedang membangun di Asia Pasifik yang telah menghasilkan produk industri seperti Malaysia, Thailand, China dan Singapura memperoleh keuntungan melalui pengukuhan rangkaian pasaran, persaingan yang sihat, harga pasaran yang lebih stabil dan sebagainya. Di Asia Tenggara, pengenalan AFTA merupakan satu realisasi daripada arus globalisasi. Kesan-kesan positif daripada perluasan tersebut dapat dinikmati secara bersama.

Selain itu, dengan globalisasi juga perkongsian sumber-sumber alam khususnya sumber bahan mentah dan sumber tenaga dapat dijalankan. Sesetengah negara atau kawasan tidak mempunyai bekalan tenaga yang cukup bagi menggerakkan sektor industri dalam negara. Oleh sebab itu, negara terpaksa bergantung kepada negara luar bagi memperoleh sumber kuasa tersebut.Misalnya, negara Jepun terpaksa kepada negara-negara Teluk dan negara-negara Asia yang lain untuk mendapatkan bekalan petroleum dalam negara tersebut. Begitu juga dengan Singapura yang bergantung kepada Malaysia untuk mendapatkan bekalan sumber air. Pendek kata dalam sistem ekonomi terbuka, keadaan saling bergantung sudah menjadi satu kemestian bagi setiap negara.

Melalui globalisasi juga, penubuhan-penubuhan negara-negara anggota seperti ASEAN, APEC dan lain-lain telah mewujudkan penjagaan alam sekitar secara bersama khususnya dalam menangani permasalahan alam sekitar. Negara-negara tersebut akan menjalankan usahasama dalam membuat pengesanan, rondaan, kawal selia, pengawasan, dan pemuliharaan jika berlaku kes-kes pembuangan enap cemar oleh kapal yang melalui kawasan Selat Melaka. Pengurusan dan penjagaan alam sekitar di negara-negara masing-masing akan menjadi lebih mapan menerusi pertukaran maklumat dan teknologi terkini. Isu-isu alam sekitar serantau seperti pencemaran laut, jerebu, dan isu kepupusan sumber marin ditangani secara bersama.

Seterusnya,  meningkatkan daya saing negara dan peningkatan kualiti barangan. Melalui globalisasi, pembukaan kawasan pasaran dan perdagangan yang seluas-luasnya menyebabkan produk-produk negara seperti perindustrian dapat dipasarkan dengan meluas. Dengan hak yang sama, mekanisme pasaran yang terbuka, adil dan telus harga produk akan akan menjadi lebih stabil. Keadaan ini kerana globalisasi memberikan kuasa mutlak kepada kuasa-kuasa pasaran iaitu permintaan dan cita rasa pengguna dalam urus niaga barangan dan perkhidmatan. Pilihan sesuatu barangan terletak di tangan pengguna tanpa melibatkan tekanan dan kongkongan dari mana-mana pihak.

2 comments: