Monday 10 December 2012

Krisis peningkatan harga minyak global



Dunia kini sedang mengalami krisis kenaikan minyak yang begitu kronik. Kenaikan ini telah menyebabkan banyak negara mengalami masalah hutang yang begitu teruk sehingga mampu memusnahkan ekonomi yang sudah dipupuk sekian lama itu. Rakyat juga mula menerima tempias krisis ini yang menyaksikan banyak syarikat mula membuang pekerja mereka kerana ekonomi dunia mengalami kegawatan yang ketara. Harga minyak global melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah pada Julai 2008 iaitu US$147 setong.
Kemelut harga minyak ini banyak dipengaruhi oleh permintaan minyak yang begitu tinggi dari negara China dan India. Kedua-dua negara ini sedang mengalami pertumbuhan ekonomi yang rancak lalu memerlukan jumlah minyak yang banyak untuk memenuhi keperluan industri mereka yang sedang berkembang pesat itu. Permintaan yang terlalu banyak ini telah menyebabkan harga minyak melambung kerana situasi ini mewujudkan tekanan terhadap keperluan minyak begitu jelas. Pada masa yang sama, keperluan permintaan minyak dunia begitu tinggi berbanding dengan tahap pengeluaran minyak yang sedia ada lalu menyebabkan harga melambung tinggi. Ringkasnya, harga minyak meningkat kerana China dan India telah mewujudkan satu pasaran baru buat pengusaha minyak dunia berikutan permintaan yang amat tinggi bagi kedua-kedua negara tersebut.
Selain itu, keadaan politik yang tidak stabil di rantau Asia Barat telah menjadikan harga minyak melambung tinggi. Peperangan bersama-sama tunjuk perasaan, rampasan kuasa dan ketidakstabilan politik di Iraq, Iran, Syria, Kuwait dan sebagainya menyebabkan banyak negara pembeli minyak berasa risau lalu membuat pembelian awal yang lebih banyak daripada pembelian biasa. Keadaan yang tidak stabil ini menyebabkan negara-negara pengeluar minyak yang lain mengambil kesempatan untuk meninggikan harga minyak untuk mengaut keuntungan segera daripada ketidakstabilan politik yang melanda rantau itu. Maka, keadaan politik yang tidak stabil di Asia Barat telah menyebabkan harga minyak melambung tinggi.
       Penurunan kadar nilai mata wang Amerika Syarikat juga dikaitkan dengan peningkatan harga minyak ini. Sudah menjadi kebiasaan pembelian minyak dikaitkan dengan penggunaan mata wang Amerika Syarikat lalu sebarang penurunan mata wang negara ini pasti akan menjejaskan nisbah keuntungan yang bakal diterima oleh negara pengeluar minyak itu. Situasi ini membawa kepada negara pengeluar minyak tidak berminat untuk mengeluarkan minyak lebih banyak kerana pembelian minyak menggunakan mata wang Amerika Syarikat ketika ini tidak membawa kadar keuntungan yang banyak kepada mereka.
Tambahan pula, keperluan minyak negara-negara yang mengeluarkan minyak itu sendiri begitu tinggi. Situasi ini menyebabkan jumlah minyak yang dikeluarkan oleh mereka itu tidak banyak yang boleh dieksport untuk keperluan negara lain kerana sudah pasti mereka akan cuba memenuhi keperluan minyak negara mereka terlebih dahulu. Kekurangan jumlah penawaran minyak di pasaran antarabangsa menyebabkan harga minyak melambung kerana negara-negara lain turut memerlukan minyak dalam kuantiti yang banyak.
Keadaan ini telah mengakibatkan krisis kenaikan harga minyak berlaku dan memberi kesan negatif terhadap seluruh negara didunia.Malaysia terpaksa menaikkan harga minyak sebanyak RM0.70 atau 41peratus bagi mengurangkan subsidi bahan api yang ditanggung oleh pihak kerajaan bagi memastikan belanjawan negara tidak mengalami defisit yang lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment